03 February 2009

Penubuhan Silat Seni Gayong Gabungan Pulau Pinang

Pada hari Ahad, 18hb. Januari 2009 bertempat di Penang Golf Resort, Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang telah berlangsung satu majlis penuh adat-istiadat Melayu iaitu Majlis Perasmian Penubuhan Pertubuhan Silat Seni Gayong Gabungan Daerah-Daerah Negeri Pulau Pinang & Majlis Penganugerahan Sandang dan Bengkung Kegurulatihan Silat Seni Gayong.

Majlis yang berlangung dari jam 2.15 hingga 5.00 petang itu dan dihadiri oleh lebih 150 orang jemputan khas telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Zainal Abidin Osman, Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) merangkap Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal.

Pertubuhan Silat Seni Gayong Daerah-Daerah (SPU, SPT, SPS, TIMUR LAUT, BARAT DAYA) di negeri Pulau Pinang telah didaftarkan semula dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dibawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

Sehubungan dengan itu pihak Jawatankuasa Gabungan telah berusaha mengatur strategi dan merancang aktiviti bagi menggerak serta mengiatkan semula aktiviti Silat Seni Gayong di negeri Pulau Pinang.

Selain daripada bertujuan memperkenalkan semula serta mempromosi Silat Seni Gayong di negeri Pulau Pinang diantara objektif utamanya ialah untuk menyediakan platform bagi menjana aktiviti sihat dikalangan golongan remaja dan belia disamping meneruskan kesinambungan khazanah warisan bangsa. Adalah juga menjadi harapan pihak jawatankuasa agar Silat Seni Gayong dan lain-lain Silat Melayu menjadi salah satu wadah perpaduan orang-orang Melayu.

Pada Majlis tersebut, tujuh orang pemimpin masyarakat Pulau Pinang yang terdiri daripada ahli politik dan tokoh korporat telah dianugerahkan Sandang Kehormat Mahkota Bintang Pelangi:

· YBHG DATO’ ZAINAL ABIDIN OSMAN
· YB TN HJ MUHAMAD FARID SAAD
· YBHG DATO’ ABDUL RAHIM SAIBU
· YB DATO’ ROSLAN SAIDIN
· YBHG DATO’ HELMI RASHID
· YB DATO’ MAHMUD ZAKARIA
· YBSH EN MOHD NADZIR HJ MANSOR

Sandang-sandang kehormat telah disampaikan oleh Yang Di Hormati Toh Kohor Alam Brigadier Jeneral (B) Dato’ Hj Ahmad Fuad Bin Hj Harun, Orang Besar 32, Negeri Perak Darul Ridzwan.

Sandang-sandang Waris Beradat dikurniakan kepada dua belas orang murid-murid lama Silat Seni Gayong Pulau Pinang yang membentuk Lembaga Waris Beradat Negeri dan Bengkung serta Sandang Kegurulatihan dianugerahkan kepada lima belas orang Gurulatih dan Jurulatih lama dan baru yang membentuk Majlis Gurulatih Negeri.

Sandang Waris Beradat disampaikan oleh YBhg Pn Hjh Fadhilah Bt Dato’ Meor Abdul Rahman yang merupakan waris Allahyarham Dato’ Mahaguru dan Sandang serta Bengkung Kegurulatihan disampaikan oleh Yg Bsh Cikgu Ahmad Ismail, Gurulatih Utama Silat Seni Gayong.

Cikgu Ahmad Ismail turut menerima Bengkung Kegurulatihan tertinggi didalam Silat Seni Gayong iaitu Bengkung Hitam Harimau Pelangi Cula Sakti (Cula VI) daripada Pn Hjh Fadhillah.

Selain daripada itu, bagi mengenang jasa-jasa beliau didalam mengembangkan Silat Seni Gayong di seluruh negara khususnya di Pulau Pinang, Cikgu Ahmad Ismail telah di hadiahkan sebilah keris berlok tujuh, berpamor Beras Wutah, berwarangka Jogja dari Jawa Timur.
Oleh: Mohd Mamsin

1 comment:

Pak_Anjang said...

Alhamdulillah, lama tak dengar berita guru-guru saya yang asal : Cilgu Ahmad Ismail, Cikgu Taher Saad dan GL2 lain di Paya Keladi, Kepala Batas, PP.

tahniah kepada semua.

Jadi, di PP ada 4 pertubuhan (kalau tak silap) yang asal Mahagurunya Allahyarham Dato' Meor Abd. Rahman, iaitu : i) PSSPGM (Pusaka) ii) PSSGM (Malaysia0- bawah Cikgu Yaakob; iii) Gayong Sundang - bawah Allahyarham Cilgu Othman/Man Sendo; iv) PSSG Gabungan Daerah PP.
Ada lagi ka yang lain? Saya pun dah pening...
Namun, saya sokong semua kerana Gayong adalah asalnya satu...insyaAllah,kita akan tetap bersatu.
Moga Allah SWT beri petunjuk kpd semua, amin.