15 October 2008

Kembara Ilmu

Dalam Gersang Kembara Bermula
Titisan Air Jadi Buruan
Buat Membasah Tekak Yang Hiba
Hausnya Sudah Tiada Tertahan

Tidak Tertahan Rasanya Diri
Sungguhlah Jahil Tiada Ketahuan
Kosongnya Jiwa Tiada Terperi
Dambaku Sungguh Ilmu Ya Tuhan

Kembara Temu Pelbagai Laku
Ujian Datang Pelbagai Wajah
Segala Itu Semua Dilalu
Berjalan Terus Biarpun Payah

Bertemu Sijahil Maka Berbalah
Baik Mengalah Elaknya Punah
Begitulah Laku Jadi Tarbiah
Jika Tidak Semuanya Musnah

Musnahlah Diri Tiadanya Ilmu
Musnahlah Akhlak Jika Sengketa
Hilang Akal Amarah Bertemu
Rosak Rohani Jadilah Buta

Bertemu Ilmuwan Maka Bertuah
Terisi Cawan Sehingga Tertumpah?
Dahaga Hilang Alhamdulillah
Pujian Hanya Pada Al-Ilah

Adakah Sungguh Kendi Terisi?
Ilmu Barokah Dari Pendita
Bukan Dahaga Dihilang Tadi?
Nampakkah Kurang Empunya Mata?

Adakah Tidak Dituang Airnya?
Nikmat Rasanya Tiada Diduga
Cawan Kosong Kemana Isinya?
Lenyapnya Air Hilang Dahaga

Maka Kembali Mencari Lagi
Untuk Mengisi Bejana Lopong
Diri Berilmu Itulah Resmi
Bertambah Isi Terasa Kosong

Gersang Kembali Kembara Ini
Hanya Mengharap Redha Ilahi
Sudahlah Tentu Kekal Abadi
Berserah Bulat Pasrahlah Diri

Tintanya Ilmu Tiada Sempadan
Mentaati Allah Paling Utama
Lenyaplah Diri Dalam Celupan
Disisi Allah Abadi Selama

Dhaifnya Diri Sudah Ternyata
Adanya Ilmu Jauh Sekali
Yang Baru Itu Semua Binasa
Akuilah Kini Lemahnya Diri

Binasa Juga Kalam Yang Ini
Kalamnya Hamba Diri Yang Hina
Tidaklah Kekal Jasadnya Ini
Ilahana Anta Maqsuduna

Ustaz Saiful Muhammad
16 October 2008, Seremban 2

2 comments:

Saya... said...

Ummm...bro...sekarang sudah tukar http://malaysiantigress.blogspot.com


I mentioned your blog in mine today...

GLOBAL ABJAD BLOG said...

Salam semua

Rangkap 1

Ustaz meluahkan rasa bahawa beliau sentiasa dalam pencarian ilmu yang pada pendapat beliau tiada akhir.

Rangkap 2

Ustaz menyatakan bahawa betapapun banyak ilmu dicari, tetapi masih dirasakan dirinya kecil di sisi Khaliknya dan masih banyak yang belum diketahuinya.

Rangkap 3

Ustaz menyatakan bahawa dalam usaha mecari ilmu, pelbagai dugaan terpaksa ditempuhi. Namun ini merupakan perkara biasa/lumrah hidup.

Rangkap 4 & 5

Ustaz secara sinis menyatakan bahawa betapa susahnya usaha menyebarkan ilmu kepada orang yang tidak pandai tetapi berlagak pandai atau orang yang suka berdebat/mencari kemenangan yang tidak kekal - samada orang itu berilmu atau sebaliknya. Namun sifat bersabar dan mengalah bukanlah bermaksud beliau gentar menghadapi dugaan - ianya ibarat ubat/penawar serta penguat kepada imannya.

Rangkap 6

Ustaz berkongsi memori yang indah dan bermanfaat apabila beliau bertemu dengan rakan-rakan atau pembimbing yang berilmu yang menjadi teman dunia akhirat.

Rangkap-rangkap seterusnya

Ustaz mengulangi kembali kekurangan pada dirinya dan menjadikan ilmu sebagai misi pencariannya.

Ustaz juga menekankan secara simbolik betapa pentingnya ilmu itu diamalkan atau dicurahkan dan tidak disimpan begitu sahaja.

Ustaz mengingatkan dirinya bahawa ilmu itu tiada penghujung. Ibarat setitis air yang mewakili segala ilmu, kejadian, kehidupan dll dalam 'kun-fayakun'Nya dan sekiranya setitis air itu jatuh pada 7 samudera (dengan segala pohon menjadi pena) - nescaya keringlah samudera berkenaan jika ingin ditinta kalimah Allah yang tiada pernah kehabisan. (Rumusan dari Firman Allah dalam Surah Luqman dan sabda Rasulullah S.A.W.)

Akhir kata, Ustaz akur dan fana dalam kebesaran Allah SWT.