01 January 2008

Lapis & Pelita


A little reminder for all pesilat for this new year. May this coming year be better than those past. May Allah forgive us our transgressions, those wilful and unwilful. Amin.


Dayuskah kita kaum Badang?
Yang terkenal dengan Tuah dan Jebat?
Yang masyhur dengan Kilau dan Bahaman?
Yang gemilang dengan Hanafi dan Rahman?
Ke manakah pergi kecekalan hati
Penongkah arus, insan berani
Menggagahi hari dengan bijak yang murni
Yang menerangi juang dengan jatidiri?
Mungkinkah kita masih mencari
Seorang pembimbing seorang pengganti
Namun hati buta menyedari
Mereka sudah berada di sini?
Mungkinkah juga terlalu menyayangi
Mereka yang sudah lama menjejak pergi
Lalu merias menambah seri
Pada sejarah yang tinggal memori?
Bukankah mereka insan biasa
Memainkan gerak ilham dirinya
Yang tiada daya mahupun upaya
Melainkan Dia Yang Maha Esa?
Namun mana intan mana kaca?
Adakah pembelot atau pembela?
Peliharalah diri dari fitnah mereka
Kerana berdatuk ada berguru pun iya
Silat Melayu budaya bangsa
Bohong belaka disebut jua
Mereka tidak kenangkan duduk setara
Malah memartabat yang punya sahaja
Sedarlah saudara bangkitlah segera
Silat Melayu sama tidak serupa
Jiwa pendekar memaut semua
Hanya gerak membezakan kita
Janganlah cara dijadikan punca
Mencari sengketa di antara kita
Guru membawa amanah mulia
Silap mereka sempadan kita
Biarlah diri menjadi penentu
Apa perjuangan apa halatuju
Jangan dibazir tutur gurumu
Jangan pula diturut terburu-buru
Inilah pesan seorang saudaramu
Hiba memandang jiwa Melayu
Yang menjadi jajahan sewaktu dulu
Kembali diherdik dirantai dibelenggu
Bak kata guru di zaman silam
Hidupkan kasih panjangkan salam
Sedang lapis dan pelita duduk setalam
Inikan Melayu bersendikan Islam
Mohd Nadzrin Wahab
22/4/2002
Kuala Lumpur


Original Article by Mohd Nadzrin Wahab

No comments: